Bermula tepat jam 11.00pg, para tetamu sudah mula membanjiri rumahku. Aku yang hanya bru selesai mandi tergesa-gesa mengenakan pakaianku mengikut tema majlis. Warna ungu telah menjadi pilihan pasangan mempelai bagi mewarnai majlis mereka. Lebih kurang 1,000 tetamu dijemput hadir ke majlis persandingan mereka termasuklah keluarga terdekat, teman-teman dan penduduk sekitar. Cuaca yang baik melancarkan lagi berlangsungnya majlis.
Pak Lang, selaku juruacara pada hari itu, digandingkan pula dengan abang ipar aku, menyerikan lagi majlis tersebut. Putaran lagu-lagu yang bersesuaian mengikut turutan majlis menyebabkan majlis tidak berasa hambar atau muram.
Katering pilihan yang dipilih untuk majlis ini adalah dari D'Nor Catering. Diketuai oleh pemiliknya sendiri, masakan yang dihidangkan menepati citarasa kebanyakan penduduk. Segala kenangan dimemorikan dalam bentuk potret yang diabadikan oleh jurugambar profesional, Masrizal. Segala detik yang tercipta tidak dilepaskan begitu sahaja dan ditangkap menggunakan lensa kameranya.
Didandan oleh temannya sendiri, kakakku telah mula disolek dari pukul 9.30pg. Hanya satu persalinan, majlis yang berjalan tetap meriah. Tepat jam 1.00tgh, rombongan pengantin lelaki tiba. Segak bergaya si raja sehari kerana mahu disandingkan dengan ratu hidupnya. Kedatangan rombongan disambut dengan paluan kompang dan renjisan beras kunyit mengikut istiadat melayu. Pengantin diarak menuju ke pelamin dan bermulalah sesi menepung tawar. Dikendalikan oleh juruacara majlis, acara itu dimulakan dengan bacaan doa meminta supaya tuhan melancarkan perjalanan majlis dari mula hingga akhirnya. Tepung tawar dimulai oleh pihak lelaki dan diikuti oleh pihak perempuan.
Senyuman jelas terpancar di wajah kedua mempelai walaupun kepenatan melayan tetamu yang hadir. Kemudian pengantin diarak ke meja makan beradab, yang dihiasi oleh gubahan bunga segar, menaikkan seri si pengantin. Sajian yang dihidangkan begitu menaikkan selera.
Segala acara selesai dengan selamatnya pada kira-kira jam 2.30ptg. Tetamu masih ada yang hadir dan pasangan mempelai turut serta melayan tetamu.
Sedikit kenangan disertakan bagi diabadikan dan ditatap oleh semua...
Sesi menepung tawar
Abang iparku, selaku juruacara majlis
Sesi makan beradab
No comments:
Post a Comment